SEPANG, 2 September – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pagi tadi gamat dengan sambutan meriah kepulangan wira badminton negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, juara dunia pertama beregu campuran Malaysia.
Pasangan ranking keempat dunia itu tiba pada jam 5.51 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH21, disambut penyokong dan ahli keluarga yang menanti sejak awal pagi.
Turut bersama mereka, beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah, yang pulang sebagai naib juara dunia selepas aksi final penuh dramatik di Paris.
Kepulangan atlet negara diraikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bersama kepimpinan tertinggi KBS, MSN dan BAM, sekali gus menambah seri suasana.
Kelmarin, Tang Jie–Ee Wei mencipta detik bersejarah pada sambutan Hari Merdeka apabila menewaskan gandingan pilihan kedua China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin, 21–15, 21–14 di Adidas Arena, Paris.
Sementara itu, Pearly–Thinaah yang menghuni ranking kedua dunia, berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas sengit kepada gandingan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu–Tan Ning, dalam pertarungan tiga set.
