KOTA BHARU, 2 September – Kontinjen Kelantan yang bakal menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-22 di Sarawak, Oktober ini merayu sumbangan orang ramai serta syarikat korporat bagi menampung kos penyertaan yang dianggarkan mencecah RM100,000.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf), Saiful Helmie Dzamani berkata, dana yang ada ketika ini tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan meliputi latihan, perjalanan dan penginapan sepanjang temasya berlangsung dari 1 hingga 7 Oktober depan.
“Saya menyeru mana-mana syarikat atau rakyat Kelantan untuk tampil memberi sokongan atau sumbangan bagi membolehkan atlet kita beraksi di SOPMA kali ini,” katanya pada sidang media di Pejabat ADUN Kota Lama, di sini.
Kontinjen Kelantan akan menghantar 40 atlet dan pegawai bagi menyertai empat acara iaitu futsal, badminton, tenpin boling dan orienteering. Sasaran utama adalah meraih pingat emas dalam acara futsal.
Saiful Helmie menegaskan, sukan orang pekak di Kelantan mempunyai potensi besar dengan rekod melahirkan atlet yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
