fb fb fb fb fb

Kejohanan Badminton Dunia 2025 : Kejayaan bukti program RTG berkesan

Foto RTM

SEPANG, 2 September – Kejayaan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, yang merangkul emas, serta beregu wanita, Pearly Tan–M. Thinaah, yang membawa pulang perak pada Kejohanan Dunia, disifatkab sebagai bukti keberkesanan program Road To Gold (RTG).

Perkara itu ditegaskan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut menyifatkan pelaburan kerajaan dalam program itu bukanlah satu pembaziran, sebaliknya memberikan pulangan besar buat arena sukan negara.

“Sudah tentu kita sangat gembira dengan kejayaan ini kerana melalui program Road To Gold, setiap atlet menandatangani kontrak sebagai komitmen mereka kepada negara. Ini adalah pelaburan negara, dan dalam tempoh hanya empat bulan, kita sudah dapat melihat hasilnya. Mereka sebenarnya kisah kejayaan Road To Gold, dan hari ini, kedua-duanya wajar dilihat sebagai pencipta sejarah.” katanya.

Beliau menyatakan perkara berkenaan ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) terminal 1.

Terdahulu, kedua-dua pasangan berkenaan disambut sebagai wira sejurus pulang dari Paris selepas mencipta sejarah di pentas dunia.

Hannah turut memuji semangat kebangkitan Tang Jie–Ee Wei yang sebelum ini pernah mengumumkan perpisahan, namun bangkit untuk bergelar juara dunia.

Beliau juga menyanjung usaha Pearly–Thinaah yang membawa pulang pingat perak sekali gus memberi inspirasi kepada pemain wanita Malaysia.

Dalam pada itu, Hannah mengumumkan kedua-dua pasangan layak menerima insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) iaitu sebanyak RM20 ribu untuk pingat emas dan RM10 ribu bagi pingat perak.

Tambahnya lagi perbincangan dengan Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut diadakan untuk menambah pemberian insentif khas yang akan diumumkan kemudian.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN