SEPANG, 2 September – Pernah hampir berputus asa akibat masalah kesihatan, kini nama Toh Ee Wei terpahat dalam sejarah sebagai juara dunia beregu campuran pertama Malaysia bersama gandingannya, Chen Tang Jie.
Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini berdepan detik sukar apabila terpaksa bersara pada 2019 kerana masalah sinus kronik, sebelum disahkan menghidap tuberkulosis tulang belakang dua tahun kemudian. Penyakit itu hampir menamatkan kariernya.
“Ada masanya saya hampir berputus asa, tetapi ketika itu saya bertemu ahli fisioterapi BAM yang banyak membantu. Dari kosong, saya dibimbing langkah demi langkah sehingga mampu kembali bangkit dan berjuang hingga ke hari ini.”katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terminal 1.
Berbekalkan sokongan BAM, MSN, ISN serta program Road To Gold, Ee Wei kembali ke gelanggang pada 2022 bersama Tang Jie.
Kemuncak kebangkitan mereka hadir kelmarin di Paris, apabila pasangan ranking keempat dunia itu menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin, 21–15, 21–14 dalam masa 40 minit.
Kejayaan itu sekali gus melakar sejarah gemilang buat Malaysia, tepat pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
