fb fb fb fb fb

Whitecaps bangkit tewaskan St. Louis, Muller jadi wira

Thomas Muller meraikan gol kemenangan penaltinya bersama Vancouver Whitecaps / Foto REUTERS

VANCOUVER, 24 Ogos - Thomas Muller menjaringkan gol pertamanya dalam Major League Soccer (MLS) menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 masa kecederaan separuh masa kedua untuk membantu Vancouver Whitecaps menewaskan St. Louis City SC 3-2 di Stadium BC Place, pada Sabtu.

Pemain Jerman itu, yang tampil buat kali kedua bersama Whitecaps, menyempurnakan sepakan selepas semakan video (VAR) mendapati Mathias Laborda dijatuhkan Mykhi Joyner dalam kotak penalti.

Whitecaps sebelum itu menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tandukan Daniel Rios pada minit ke-79 selepas sepakan percuma Sebastian Berhalter, susulan kekasaran Conrad Wallem terhadap Ali Ahmed.

St. Louis terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Eduard Lowen pada minit ke-14 sebelum Brian White menyamakan kedudukan untuk Whitecaps melalui sepakan penalti pada penghujung babak pertama. Joao Klauss kembali meletakkan St. Louis di depan pada minit ke-73 dengan gol kelapannya dalam 12 perlawanan.

Whitecaps yang kini merekodkan 14 kemenangan, enam seri dan tujuh kekalahan (49 mata) mendominasi perlawanan dengan 59.2 peratus penguasaan bola serta 22 percubaan berbanding 11 oleh St. Louis (5-16-6, 21 mata). - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE