JAKARTA, 24 Ogos - Kemenangan beregu campuran negara, Loo Pin Xie-Ainnur Asyikin Jupineh dalam acara mixed rapid di Sukan SEA Pekak 2025 disahkan milik Malaysia selepas bantahan yang dikemukakan kontinjen lawan ditarik balik.
Bantahan itu sebelum ini dibangkitkan oleh kontinjen Thailand dan tuan rumah, Indonesia yang mempertikai kelayakan Ainnur Asyikin sebagai atlet pekak.
Bagaimanapun, pengesahan daripada International Committee of Sports for the Deaf (ICSD) serta rekod ujian audiologi rasmi mengesahkan status atlet berusia 20 tahun itu.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF), Ong Shin Ruenn berkata, isu sama pernah timbul ketika Ainnur Asyikin beraksi di Kejohanan Asia Pasifik sebelum ini.
“Walaupun dia (Ainnur Asyikin) boleh bertutur sedikit, beliau tetap diklasifikasikan sebagai atlet pekak oleh ICSD. Selepas bukti ditunjukkan, kontinjen lawan menerima keputusan dan menarik balik bantahan,” katanya ketika ditemui di lokasi perlawanan tersebut.
Menurutnya lagi, semua atlet negara telah menjalani ujian di hospital kerajaan, manakala penggunaan alat bantuan pendengaran tidak dibenarkan sepanjang kejohanan bagi memastikan kesaksamaan pertandingan.
Kejayaan beregu Pin Xie-Ainnur yang menewaskan dua pasangan dari Indonesia serta Thailand itu membolehkan Malaysia menambah kutipan pingat emas ke-18 setakat temasya kali ini.
