fb fb fb fb fb

Shnaider tewaskan Alexandrova, rangkul gelaran juara Kejohanan Terbuka Monterrey 2025

Diana Shnaider menjulang trofi kejohanan selepas menewaskan rakan senegara, Ekaterina Alexandrova pada aksi final Monterrey Open 2025 di Mexico / Foto REUTERS

MONTERREY, 24 Ogos - Pemain pilihan ketiga, Diana Shnaider, menewaskan rakan senegara dari Rusia, Ekaterina Alexandrova yang juga pilihan kedua, 6-3, 4-6, 6-4 untuk menjuarai Kejohanan Terbuka Monterrey 2025 di Mexico, pada Sabtu.

Shnaider, 21, yang kini berada pada kedudukan ke-22 dunia, meraih kejuaraan pertama musim 2025 dan gelaran kelima sepanjang kariernya. Kali terakhir beliau muncul juara ialah pada Kejohanan Hong Kong Open 2024, November lalu selepas menewaskan wakil Great Britain, Katie Boulter di final.

Selepas masing-masing memenangi satu set, Shnaider memecahkan servis Alexandrova pada permainan pertama set penentuan dan berjaya menyelamatkan dua break point dalam servis berikutnya. Beliau tidak lagi berdepan ancaman dalam empat servis terakhir sebelum menamatkan perlawanan pada mata kemenangan kedua.

Shnaider berjaya melakukan 72 peratus first serve masuk pada set ketiga dan memenangi 74 peratus daripada mata tersebut.

Terdahulu, Alexandrova melengkapkan aksi separuh akhir bertemu pemain Republik Czech, Marie Bouzkova yang tertunda akibat hujan pada Jumaat. Selepas permainan bersambung pada kedudukan 2-2, Alexandrova memenangi set pertama 6-3 sebelum Bouzkova menarik diri.

Shnaider akan beraksi sebagai pilihan ke-20 pada Terbuka Amerika Syarikat dengan bertemu wakil Jerman, Laura Siegemund di pusingan pertama, manakala Alexandrova selaku pilihan ke-13 dijadual menentang pemain Latvia, Anastasija Sevastova. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE