fb fb fb fb fb

Son jaring gol pertama MLS bersama LAFC melalui sepakan percuma

Son Heung-min meraikan jaringan sulungnya dalam aksi MLS bersama LAFC / Foto koreajoongangdaily.joins.com

FRISCO, 24 Ogos - Gol pertama Son Heung-min dalam Major League Soccer (MLS) membantu Los Angeles FC (LAFC) seri 1-1 menentang FC Dallas dalam aksi di Toyota Stadium, pada Sabtu.

Son, yang diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali kedua berturut-turut, membuka jaringan pada minit keenam menerusi sepakan percuma deras menewaskan penjaga gol Dallas, Michael Collodi.

Namun kelebihan itu hanya bertahan tujuh minit sebelum Logan Farrington menyamakan kedudukan hasil hantaran Patrickson Delgado, sekali gus meledak gol kelimanya musim ini.

Keputusan seri itu menyaksikan LAFC (11-6-8, 41 mata) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir dan menghuni tangga keempat Persidangan Barat. Dallas (7-11-9, 30 mata) pula kekal ketinggalan lima mata di belakang Austin FC yang menguasai slot terakhir playoff.

LAFC hampir meraih kemenangan lewat permainan apabila rembatan Denis Bouanga terkena palang pada minit ke-88, sebelum Collodi melakukan aksi menyelamat cemerlang menafikan percubaan David Martinez pada masa kecederaan.

Collodi menutup aksi dengan lima kali menyelamat, manakala Hugo Lloris di gawang LAFC hanya merekodkan satu.

Dallas menyenaraikan semula penjaring terbanyak mereka, Petar Musa (13 gol), sebagai pemain gantian selepas direhatkan ketika aksi menentang Austin FC minggu lalu.

LAFC bagaimanapun kehilangan Igor Jesus yang cedera pada minit ke-24, selain terpaksa melupakan khidmat Ryan Hollingshead yang digantung perlawanan menentang San Diego FC pada 31 Ogos. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE