fb fb fb fb fb

Zii Jia alami kemurungan selepas cedera

Sepanjang tempoh berehat, Lee Zii Jia turut menjauhkan diri daripada media serta perkembangan dunia badminton

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengalami masalah kemurungan selama lima bulan akibat kecederaan buku lali pada kaki kanannya.

Mennurut pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu, sepanjang tempoh pemulihan, dia juga mengalami masalah tekanan.

“Sepanjang lima bulan itu, saya bukan hanya berdepan dengan kecederaan, tetapi juga tekanan, dan ada sedikit kemurungan. Saya cuba cari cara untuk alihkan fikiran, saya melancong, membaca buku, malah cuba terjun udara di Dubai.

"Saya juga mula mendalami seni kerana seni boleh mengekspresikan emosi, termasuk sisi gelap yang kita alami,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan dalam laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sepanjang tempoh berehat, pemain berusia 27 tahun berkenaan turut menjauhkan diri daripada media serta perkembangan dunia badminton, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan dan pengukuhan mental.

Kini Juara All England 2021 itu telah kembali menyertai saingan kompetitif pada Kejohanan Badminton Badminton Dunia 2025 yang akan membuka tirainya esok di Paris, Perancis.

Mengulas mengenai prestasi semasanya, Zii Jia berkata segala-galanya akan ditunjukkan pada kejohanan tersebut.

“Dalam latihan saya rasa yakin, tapi dalam kejohanan ia situasi berbeza. Jadi, saya anggap kejohanan ini sebagai ujian untuk diri saya. Apa yang penting sekarang, saya bebas daripada kesakitan dan saya mahu menikmati permainan,” katanya.

Bagi Zii Jia, episod sukar yang dilalui sepanjang lima bulan lalu memberikan pengalaman baharu yang mengajarnya lebih mengenali diri sendiri.

Sementara itu, BWF dalam satu hantaran media sosial turut memuat naik sebuah video Zii Jia sedang menguji gelanggang menjelang Kejohanan badminton Dunia.

 

JALALUDDIN BIN BAHARIN