(Bekas pengurus kelab West Bromwich Albion, Steve Bruce/ AFP)
LONDON, 10 Oktober - Kelab Liga Kejuaraan, West Bromwich Albion pada Isnin memecat pengurus, Steve Bruce selepas hanya lapan bulan mengendalikan kelab itu dalam zon penyingkiran.
Bekas bos Newcastle itu, 61 tahun, menandatangani kontrak selama 18 bulan di Hawthorns pada bulan Februari lalu tetapi hanya memenangi lapan daripada 32 perlawanannya sebagai pengurus.
"West Bromwich Albion hari ini telah berpisah dengan pengurus Steve Bruce," kata kelab itu dalam satu kenyataan.
"Kakitangan kejurulatihannya iaitu Steve Agnew, Stephen Clemence dan Alex Bruce (anak Bruce) juga telah meninggalkan Hawthorns.
(Steve Bruce ketika mengendalikan kelab West Bromwich Albion)
"Kelab ini ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Steve Bruce dan kakitangan kejurulatihannya atas usaha mereka sejak tiba pada Februari."
Kelab itu berkata proses pelantikan pengurus baharu sedang dijalankan.
Bekas pertahanan Manchester United itu telah menikmati empat promosi ke Liga Perdana sepanjang karier pengurusannya tetapi meninggalkan West Brom di tempat ke-22 dalam Liga Kejuaraan selepas mencatatkan hanya satu kemenangan dalam 13 perlawanan liga pertama mereka. -AFP