KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Selepas dua tahun tertangguh susulan penularan wabak COVID-19, kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali menawarkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,183 kilometer.
Perebutan dalam kalangan pelumba basikal mana yang layak menyarung jersi kuning selaku juara keseluruhan LTdL 2022 bakal terjawab selepas kayuhan bermula esok sehingga 18 Oktober ini.
Lebih berprestij acara tersebut turut disertai enam pasukan Jelajah Dunia termasuk dari Perancis, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Kazashtan.
Belum sempat membuka tirai, pencinta jelajah tertua Asia itu menerima perkhabaran gembira sebelum ini, apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengekalkan taraf perlumbaan itu sebagai PRO Series untuk tahun 2023 hingga 2025.
Ia sekaligus menjadi 'tiket' untuk menarik pasukan elit dunia menyertai kejohanan tersebut musim depan.
"Ini adalah satu kebanggaan buat kita semua, menunjukkan bahawa LTdL adalah satu temasya yang bertaraf antarabangsa dan diberi perhatian oleh pasukan-pasukan ternama di seluruh dunia.
Ini satu perkara yang amat membanggakan buat seluruh rakyat sejak permulaan LTdL sehingga tahap sekarang," menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
(LTdL 2022 akan bermula esok sehingga 18 Oktober meliputi lapan peringkat perlumbaan)
Perlumbaan kali ini dijangka lebih mencabar dengan keadaan cuaca hujan lebat yang akan menguji ketahanan pelumba dan strategi semua pasukan bertanding.
Membariskan pelumba terbaik, wakil Malaysia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) sudah melakukan persiapan awal dengan menyertai jelajah di Iran dan Taiwan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, pentas LTdL 2022 menjadi platform terbaik buat TSG kekal sebagai pasukan terbaik Asia dalam ranking UCI.
"Kami cuba kekalkan prestasi baki tiga atau empat kejohanan ini dan cuba mengumpul mata bagi memastikan TSG kekal sebagai pasukan nombor satu Asia," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Mohd Yusof Nasir meletakkan sasaran untuk menyerlah dalam tiga peringkat pertama perlumbaan.
Ia membabitkan laluan Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, Kuala Klawang ke Raub dan Putrajaya ke Genting Highland.
"Kerana peringkat tersebut adalah peringkat berbukit dan ia akan menentukan di manakah pasukan negara pada masa itu.
Tapi apa pun bagi saya, mana-mana peringkat pun kita harap dapat lakukan yang terbaik dan sekurang-kurangnya berusaha untuk mendapatkan podium untuk satu peringkat," ujarnya.
Satu lagi pasukan berpengalaman, Team Sapura Cycling (TSC) juga hadir dengan reputasi gah sebagai pasukan terbaik pada edisi lalu.
Perlumbaan musim ini bakal membuka tirai di Kuala Pilah menuju ke ibu negara membabitkan jarak sejauh 157.3 kilometer.
Peringkat terakhir akan berlangsung di Loop Langkawi yang menyaksikan jarak keseluruhan 115.9 kilometer.
Laporan Tuan Ikram Tuan Muhamad.