PUEBLA DE SANABRIA, 3 Julai – Van jenazah yang dipercayai membawa pemain bola sepak Liverpool, Diogo Jota, dan adiknya, Andre Silva, dilaporkan telah meninggalkan bilik mayat di bandar kecil Puebla de Sanabria, Sepanyol, pada petang Khamis.
Ia susulan kemalangan jalan raya yang mengorbankan keduanya awal pagi hari yang sama.
Isteri Jota, Rute Cardoso, serta ejennya, Jorge Mendes, dilihat meninggalkan premis tersebut dalam satu konvoi kenderaan.
Menurut pihak polis, kemalangan berlaku di wilayah barat laut Sepanyol apabila kereta mewah jenis Lamborghini yang dinaiki mereka hilang kawalan selepas dipercayai mengalami tayar pecah ketika cuba memotong kenderaan lain.
Kenderaan itu kemudian terbalik dan terbakar setelah melanggar pembahagi jalan.
Jota melangsungkan perkahwinan dengan Rute Cardoso bulan lalu dan pasangan itu dikurniakan tiga orang anak.
Sepanjang kerjayanya, Jota telah membuat 49 penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal, termasuk merangkul dua kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA (UEFA Nations League), dengan kejayaan terbaru dicapai hanya empat minggu lalu di Munich.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tragik tersebut. -REUTERS