KUALA LUMPUR, 4 Julai-Jaguh Larian Menara negara, Soh Wai Ching, teruja apabila namanya diumumkan sebagai calon bagi kategori Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang dijadual berlangsung pada 14 Julai ini.
Mengulas mengenai pencalonannya, Wai Ching berkata ia menjadi pembakar semangat untuk terus memperjuangkan sukan Larian Menara agar lebih dikenali di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Saya sangat gembira dan sangat teruja bila tahu saya tersenarai sebagai calon.
"Bukan selalu atlet sukan bukan Olimpik dapat peluang macam ni. Larian Menara bukan sukan yang popular, dan sangat susah nak dapat pengiktirafan. Tapi pencalonan ini tunjuk yang usaha saya selama ini mula dihargai,” katanya.
Wai Ching , turut menganggap pencalonan itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha bertahun-tahunnya mengharumkan nama negara menerusi sukan tersebut.
Beliau kini memegang gelaran atlet nombor satu dunia dalam disiplin Larian Menara selepas meraih 120 kejuaraan daripada 169 perlumbaan di peringkat antarabangsa – dengan purata kemenangan sebanyak 71 peratus.
Namun di sebalik pencapaian itu, beliau mengakui sukar mendapat liputan media arus perdana kerana sukan itu masih dianggap ‘niche’ dalam landskap sukan negara.
“Selalunya saya sendiri yang cari wartawan, hantar gambar dan video supaya mereka boleh buat liputan. Jadi bila pihak SAM memilih saya sebagai calon, saya sangat berterima kasih. Ini satu bentuk sokongan yang sangat bermakna.”
Tambahnya, pencalonan itu juga membuka ruang lebih luas kepada sukan Larian Menara untuk mendapat perhatian sektor swasta serta institusi sukan negara.
Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) akan diadakan pada 14 Julai ini dan dijangka dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.