fb fb fb fb fb

Berduka pemergian Jota, Neto belum pasti diturunkan

Foto REUTERS

PHILADELPHIA, 4 Julai-Ketua jurulatih Chelsea, Enzo Maresca, berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Pedro Neto membuat keputusan sama ada mahu beraksi dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia Kelab menentang Palmeiras pada Jumaat, susulan kematian tragis rakan senegaranya, Diogo Jota.

“Ia sepenuhnya keputusan Pedro,” kata Maresca ketika ditanya sama ada penyerang itu akan diturunkan dalam aksi di Lincoln Financial Field, di sini.

Bintang Liverpool, Jota, meninggal dunia bersama adiknya Andre Silva selepas kenderaan mereka terbabas di utara Sepanyol dan terbakar pada Khamis.

Neto, yang telah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan di kejohanan itu, pernah bermain bersama Jota ketika Portugal menjuarai Liga Negara-Negara UEFA bulan lalu, dan juga semasa mewakili Wolverhampton Wanderers.

“Saya telah berbual pagi tadi dengan Pedro. Apa pun keputusan yang dia ambil, kami akan sokong.

"Ia keputusan yang betul,” kata Maresca yang kelihatan beremosi.

Dalam perkembangan lain, pemain baharu Chelsea, Joao Pedro, mungkin membuat penampilan sulung menentang Palmeiras walaupun baru menyertai pasukan selepas cuti musim panas.

“Situasi Joao agak luar biasa kerana dia baru habis cuti,” jelas Maresca.

Penyerang Brazil berusia 23 tahun itu menyertai Chelsea daripada Brighton & Hove Albion dengan nilai perpindahan sekitar £60 juta (RM423 juta) pada Rabu lalu dan terus menyertai sesi latihan pasukan.

Kali terakhir Joao Pedro beraksi ialah pada 19 April dalam saingan Liga Perdana Inggeris, tetapi dia tetap menjalani latihan kendiri sepanjang cuti.

“Walaupun dia berlatih sendiri, ia tidak sama seperti latihan dengan pasukan. Tapi kami sangat gembira dengan Joao.

"Dalam dua hari ini dia sudah mula bersama kami dan kita akan lihat sama ada dia boleh diberi beberapa minit esok,” katanya.

Chelsea turut kehilangan Moises Caicedo yang digantung perlawanan dan akan berdepan cabaran tambahan apabila menentang Estevao Willian, remaja sensasi Brazil yang akan menyertai Chelsea selepas kejohanan ini.

Bagaimanapun, Maresca menegaskan kehadiran pemain muda itu tidak mengubah fokus pasukan terhadap perlawanan.

“Kami biasa menganalisis pasukan lawan dan pemain mereka, dan itu yang kami lakukan di sini. Kami tak kisah dia akan sertai kami selepas kejohanan. Fokus kami hanya mahu menewaskan Palmeiras,” katanya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD