fb fb fb fb fb

Pemain muda England Jamie Gittens sertai Chelsea

Pemain sayap England, Jamie Gittens menandatangi kontrak tujuh tahun bersama Chelsea / Foto REUTERS

LONDON, 4 Julai-Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, telah bersetuju untuk menandatangani pemain sayap England, Jamie Gittens, daripada Borussia Dortmund, menurut kelab Bundesliga itu pada Khamis.

Pemain berusia 20 tahun itu dijangka menandatangani kontrak selama tujuh tahun, dalam perpindahan yang dilaporkan bernilai £55 juta atau (RM403 juta).

Ketika ini, kedua-dua kelab berada di Amerika Syarikat bagi saingan Piala Dunia Kelab, dengan kedua-duanya sudah mara ke peringkat suku akhir.

Rundingan dimuktamadkan di Fort Lauderdale, namun beberapa butiran kontrak masih dalam proses akhir.

Gittens menyertai Borussia Dortmund pada 2020 dari Manchester City sebagai pemain remaja, dan membuat penampilan sulung dalam skuad utama pada 2022.

Sejak itu, beliau telah membuat 107 penampilan bersama Dortmund dalam semua kejohanan, dan menjaringkan 17 gol.

Pengarah urusan Dortmund, Lars Ricken, menyifatkan Gittens adalah contoh pemain muda yang menyinar di bawah asuhan kelab berkenaan.

“Karier Jamie Gittens adalah contoh pembangunan bakat terbaik di Borussia. Kami menemuinya pada usia muda, membangunkan potensi beliau secara berterusan dan memberinya peluang dalam pasukan utama.

"Dia membalas kepercayaan itu dengan komitmen, prestasi dan jaringan", ujarnya.

Perpindahan Gittens itu hadir selepas Chelsea memutuskan untuk tidak menyambung pinjaman Jadon Sancho daripada Manchester United.

Kehadiran Gittens dijangka mengisi kekosongan di bahagian sayap kiri Chelsea memperlihatkan usaha kelab tersebut untuk memperkukuh jentera serangan musim hadapan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD