LOS ANGELES, 4 Julai – Bekas juara dunia tinju Mexico, Julio Cesar Chavez Jr., telah ditahan oleh pegawai Imigresen dan Kastam (ICE) di Los Angeles kerana berada di Amerika Syarikat secara tidak sah, menurut kenyataan rasmi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat.
Chavez Jr., 39, yang juga anak kepada lagenda tinju Mexico Julio Cesar Chavez Sr., ditahan di luar kediamannya pada Rabu lalu oleh lebih 25 pegawai penguat kuasa.
DHS menjelaskan bahawa mereka mempunyai waran tangkap terhadap Chavez kerana dakwaan terlibat dalam jenayah terancang serta penyeludupan senjata api, dan bahan letupan.
Pihak pendakwa Mexico turut mengesahkan waran tangkap itu telah dikeluarkan sejak 2023 dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa AS bagi proses ekstradisi.
Chavez Jr. mula mencipta nama dalam dunia tinju apabila memenangi gelaran juara dunia WBC kategori middleweight pada 2011, dan berjaya mempertahankan gelaran tersebut sebanyak tiga kali.
Namun, kariernya turut dilanda kontroversi termasuk beberapa penggantungan dan denda akibat kegagalan ujian dadah, selain prestasi yang tidak konsisten dalam beberapa pertarungan terakhir.
Baru-baru ini, beliau tewas dalam pertarungan cruiserweight kepada YouTuber dan peninju profesional Jake Paul.- AFP.