KUALA TERENGGANU, 4 Julai- Terengganu FC (TFC) terus memperkukuh barisan serangan dengan kemasukan seorang lagi pemain import kelahiran Perancis Yann Kevin Mabella untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata pemain berusia 29 tahun itu telah menandatangani kontrak semusim dengan skuad Penyu.
Beliau berkata sebelum berhijrah ke Terengganu, pemain berketinggian 1.83 meter itu beraksi bersama kelab Racing FC Union di Liga Luxembourg dan mewakili skuad kebangsaan Congo dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa termasuk kelayakan Piala Afrika.
"Yann (Yann Kelvin Mabell) pemain import keempat yang kita tandatangani untuk musim ini selepas Nurillo Tukhtasinov, Junior Ngong Sam dan Gabriel Silva Costa.
"Antara faktor pemilihan beliau ialah prestasi cemerlangnya yang telah menjaringkan 22 gol dalam 29 perlawanan di Liga Luxembourg musim lepas dan menjadi watak penting dalam kelayakan Liga Konfrensi Eropah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Syahrizan berkata kehadiran Mabella dapat memberi lebih pilihan taktikal kepada jurulatih kerana keupayaannya untuk beraksi di bahagian hadapan dan sayap.-BERNAMA