KUALA LUMPUR, 4 Julai - Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky mahu pemain mengekalkan prestasi memberangsangkan dipamerkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini dalam usaha menjuarai Kejohanan Dunia 2025 di Paris, bermula 25 hingga 31 Ogos ini.
Rexy mengingatkan kesemua pemain supaya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian dilakar setakat ini dan terus mendahagakan kejayaan untuk maju ke depan.
“Untuk menjadi juara itu senang, namun untuk 'maintain' sangat susah, saya mahu setiap pemain ada dahagakan (kejayaan). Jangan hilangkan momentum kerana berdasarkan latihan, momentum itu masih ada.
“Kita sudah dapat (Kejohanan Dunia) tapi kita harapkan ada lagi selepas ini sama ada dari beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) atau beregu campuran, kita tidak tahu. Jangan hanya menang sekali, namun kita mahukannya berterusan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Aaron-Wooi Yik melakar sejarah muncul wakil badminton negara pertama menghadiahkan gelaran Kejohanan Dunia sulung buat Malaysia pada edisi 2022, menumbangkan bekas juara dunia tiga kali Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 di Tokyo, Jepun.
Beregu nombor dua dunia itu juga cemerlang menjulang tiga gelaran bagi tahun ini dengan muncul juara Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China, diikuti Terbuka Thailand 2025 dan Terbuka Singapura 2025 manakala Wei Chong-Kai Wun berjaya memenangi Masters Indonesia 2025 dan Masters Malaysia 2025.
Pearly-Thinaah, yang juga beregu wanita nombor satu negara pula mendakap satu gelaran tahun ini iaitu Terbuka Thailand 2025 selain muncul naib juara sebanyak dua kali pada Masters Indonesia 2025 dan Terbuka Indonesia 2025.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami kem beregu campuran apabila tiada gandingan yang berjaya menjuarai mana-mana kejohanan disertai musim ini.
Sementara itu, Rexy berkata rata-rata pasangan utama negara juga dilihat sudah segar mendapat tempoh rehat daripada sebarang kejohanan sejak bulan lepas dan bersedia kembali ke gelanggang pada Terbuka Jepun 2025 dan Terbuka China 2025, bulan ini.
Terbuka Jepun 2025 yang berstatus Super 750 dijadual berlangsung di Tokyo dari 15 hingga 20 Julai ini dan Terbuka China 2025 (Super 1000) bakal diadakan di Changzhou bermula 22 hingga 27 Julai. -BERNAMA