KUALA LUMPUR, 4 Julai - Program 'Prihatin Sukan: Untukmu Jaguh Negara' dianjurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk memastikan jasa dan pengorbanan bekas atlet negara terus dihargai.
Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi berkata ia merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan YAKEB bagi memberi penghargaan kepada bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara.
"Bagi pihak YAKEB, penghargaan-penghargaan seperti ini boleh memberi rangsangan kepada kita bahawa bekas-bekas atlet ini tidaklah dilupakan, YAKEB juga turut memainkan peranan untuk memastikan bekas-bekas atlet mempunyai kelangsungan hidup yang lebih baik," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas Program 'Prihatin Sukan: Untukmu Jaguh Negara' anjuran Fakulti Sains dan Rekreasi (FSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Tambahnya, inisiatif ini bukan sahaja menyokong pembelajaran pelajar, malah menjadi medium generasi muda untuk menghargai jasa wira sukan negara.
Sejumlah 9 orang bekas atlet sukan negara, masing-masing menerima penghargaan dan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 dan barang keperluan asas bernilai RM150.
Program ini menghimpunkan hampir 90 pelajar dan disertai para pensyarah, pegawai serta kakitangan UiTM, Lembaga Pemegang Amanah YAKEB serta legenda sukan negara.