fb fb fb fb fb

Riquelme sertai Real Betis, tinggalkan Atletico Madrid

Foto AFP

MADRID, 4 Julai 2025 – Pemain sayap Sepanyol, Rodrigo Riquelme meninggalkan Atletico Madrid untuk menyertai Real Betis dengan kontrak sehingga tahun 2030, demikian disahkan kedua-dua kelab pada Jumaat.

“Atletico Madrid dan Real Betis telah mencapai persetujuan berkenaan perpindahan Rodrigo Riquelme,” menurut kenyataan rasmi daripada Atletico, tanpa mendedahkan nilai perpindahan bagi pemain antarabangsa Sepanyol berusia 25 tahun itu yang merupakan produk akademi kelab tersebut.

Menurut laporan media tempatan, kedua-dua pasukan menyelesaikan urusan perpindahan minggu lalu dengan nilai sekitar 8 juta euro (RM39.75 juta) bagi pemilikan 50% hak pemain, sementara Atletico Madrid mengekalkan baki separuh hak milik ke atas Riquelme.

Perpindahan Riquelme dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan pemain muda berusia 19 tahun, Jesus Rodriguez, yang berhijrah ke kelab Serie A, Como, dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah 25 juta euro (RM124.22juta) awal minggu ini.

Riquelme, yang membina kariernya menerusi akademi remaja Atletico, pernah dipinjamkan ke Bournemouth dan Mirandés sebelum menampilkan aksi cemerlang bersama Girona pada musim 2022–2023.

Prestasi konsisten beliau di La Liga menyumbang kepada panggilan skuad kebangsaan Sepanyol, di mana beliau membuat penampilan sulung pada November tahun 2023 dan kini telah mengumpul dua kap antarabangsa.

Sepanjang kariernya, Riquelme telah mencatatkan 85 penampilan dalam La Liga, 13 aksi Liga Juara-Juara UEFA, dan 14 perlawanan Copa del Rey.

Penyertaan Riquelme dilihat sebagai satu langkah strategik Real Betis dalam memperkukuh jentera serangan menjelang musim baharu La Liga. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN