SINGAPURA, 3 Oktober- Pemandu Red Bull, Max Verstappen terlepas peluang untuk merangkul gelaran dunia buat kali kedua lebih awal selepas menamatkan saingan Grand Prix Singapura di tempat ketujuh.
Rakan sepasukan, Sergio Perez muncul juara dalam perlumbaan tersebut yang terpaksa ditangguhkan seketika akibat hujan lebat.
Ia merupakan kemenangan kedua buat Perez pada musim ini.
Pemandu Mexico itu menamatkan saingan dengan kelebihan 7.5 saat ke atas pemandu Ferrari, Charles Leclerc.
Seorang lagi pemandu Ferrari, Carlos Sainz menduduki tempat ketiga.
(Verstappen bersiap sedia sebelum sesi latihan pertama Grand Prix Singapura / Foto AFP)
Manakala Verstappen yang bermula di petak kelapan, berpeluang dinobatkan juara dunia kali kedua berturut-turut sekiranya menamatkan saingan dengan kelebihan 138 mata ke atas pencabarnya.
Verstappen bagaimanapun sekali lagi berpeluang melakukannya pada GP Jepun hujung minggu ini sekiranya berjaya menamatkan saingan dengan kelebihan 112 mata.