fb fb fb fb fb

Patrik Schick lanjut kontrak bersama Bayer Leverkusen hingga 2030

Patrik Schick, melanjutkan kontraknya bersama Bayer Leverkusen sehingga tahun 2030 / FOTO X Bayer 04 Leverkusen

LEVERKUSEN, 4 Ogos – Penyerang Republik Czech, Patrik Schick, melanjutkan kontraknya bersama kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen sehingga tahun 2030, umum kelab itu pada Isnin.

“Bayer 04 Leverkusen telah melanjutkan kontrak bersama pemain antarabangsa Czech, Patrik Schick. Penyerang itu menandatangani kontrak baharu sehingga 30 Jun 2030,” kata kelab berkenaan dalam kenyataan di laman web rasmi mereka.

Schick, 29 tahun, menjadi tonggak penting skuad Leverkusen yang mencatatkan kejuaraan berganda domestik Jerman tanpa kalah musim 2023/24.

Sejak menyertai Leverkusen pada 2020, Schick telah meledak 81 gol dalam 168 penampilan semua pertandingan serta mencatat 12 bantuan jaringan.

Di bawah bimbingan bekas jurulatih, Xabi Alonso, Schick banyak menyumbang gol penting ketika kelab itu mencipta sejarah muncul juara Bundesliga tanpa sebarang kekalahan, selain memenangi Piala Jerman dan Piala Super Jerman pada 2024.

“Saya mahu dan akan terus menyumbang gol kerana itu kekuatan saya. Selain itu, saya mahu menjadi sebahagian penting dalam membina semula pasukan baharu yang berupaya memenangi trofi,” kata Schick.

Keputusan Schick untuk kekal di Leverkusen dilihat bertentangan dengan trend perpindahan keluar musim panas ini yang menyaksikan Alonso berhijrah ke Real Madrid, disusuli pemain utama seperti Florian Wirtz, Jeremie Frimpong, Granit Xhaka dan Jonathan Tah.

Bekas pengendali Manchester United, Erik ten Hag, kini menggantikan Alonso sebagai ketua jurulatih, disokong oleh kehadiran pertahanan tengah Jarell Quansah dari Liverpool, penjaga gol Mark Flekken dari Brentford dan pemain tengah kreatif Jerman, Malik Tillman.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE