MANJUNG, 5 Ogos -Perak FA gagal memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada UM-Damansara United dalam aksi Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Beraksi dengan 100 peratus pemain tempatan, skuad kendalian Syamsul Saad lebih banyak menguasai permainan di separuh masa pertama.
Peluang terbaik Perak FA hadir menerusi percubaan Firdaus Fuad pada minit ke 34 namun digagalkan oleh barisan pertahanan UM-Damansara United.
Separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0.
Bersambung babak kedua, UM-Damansara United memperkemas permainan dengan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang Perak FA.
Gol tunggal perlawanan hadir menerusi rembatan deras Shafizi Ikmal pada minit ke 73.
Keputusan kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Perak FA tewas 0-1 kepada UM-Damansara United.