BANGKOK, 4 Ogos – Pemain golf profesional Thailand, Jeeno Thitikul kembali menduduki ranking nombor satu dunia Rolex Wanita buat kali kedua dalam kariernya.
Thitikul, 22 tahun, naik satu anak tangga pada Isnin, mengatasi Nelly Korda yang memegang kedudukan teratas sejak 25 Mac 2024.
Kali pertama Thitikul menduduki ranking nombor satu dunia ialah pada 31 Oktober 2022 selama dua minggu, sekali gus menjadi pemain Thailand kedua selepas Ariya Jutanugarn yang berjaya berada di tangga teratas.
“Saya sangat bersyukur dapat menjadi pemain nombor satu dunia buat kali kedua. Ini bukan hanya tentang saya, tetapi juga tentang keluarga, pasukan, rakan-rakan serta sokongan hebat peminat di Thailand dan seluruh dunia,” katanya.
Thitikul mengetuai Jelajah LPGA musim ini dengan lapan penamat 10 terbaik termasuk kemenangan di Kejohanan Mizuho Americas Open pada Mei, tempat keempat bersama di Kejohanan PGA Wanita KPMG pada Jun serta naib juara di Amundi Evian Championship bulan lalu apabila tewas kepada Grace Kim pada aksi playoff.
Pada Kejohanan Terbuka Wanita AIG, Ahad lalu, Thitikul menamatkan saingan di tempat ke-30 bersama, manakala Korda di tempat ke-36 dan masih memburu kemenangan pertama musim ini selepas merangkul tujuh kejuaraan tahun lalu.
Korda menamatkan tempoh 17 bulan sebagai pemain nombor satu dunia dengan keseluruhan 108 minggu berada di tangga teratas ranking Rolex, menjadikannya pemain keenam yang berjaya melepasi rekod tiga angka tersebut.