KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Kuala Lumpur City, KL City FC akan meningkatkan aspek keselamatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Ia sebagai mengambil iktibar tragedi di Stadium Kanjuruhan Indonesia dan berharap ia tidak akan berlaku sama sekali di negara ini.
KL City kini sedang dalam persiapan menghadapi perlawanan akhir antara zon Piala AFC berdepan kelab Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, KLFA, Khalid Abdul Samad berharap aksi terbaik dapat ditunjukkan oleh barisan pemain dengan keadaan cuaca sejuk di sana.
"Pasukan sudah sampai di Uzbekistan dan sedang berada dalam keadaan yang baik untuk pertemuan Rabu ini.
"Saya dan barisan Exco serta CEO KL City juga akan berada di sana untuk perlawanan yang sangat penting buat kami.
"Jika menang KL City akan menjadi juara keseluruhan Asia Timur dan akan layak ke final bertemu juara Asia Barat untuk final Piala AFC pada 22 Oktober di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
"Jika bergelar juara ia adalah kejayaan yang tidak ada tandingan meskipun sudah sampai ke tahap ini dianggap cukup baik," katanya di sini.
(Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, KLFA, Khalid Abdul Samad)
Pihaknya berharap, para penyokong tidak takut hadir ke stadium kerana pihaknya akan mempertingkatkan langkah keselamatan di stadium terutama jika The Citizens berjaya layak ke final dan menjadi tuan rumah.
Dalam pada itu, Khalid turut merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa rusuhan yang maut di Indonesia, Sabtu lepas.