KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap kerajaan dapat memperuntukkan dana yang lebih besar bagi kegunaan program pembangunan atlet yang akan menggalas cabaran di Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata penetapan bajet khusus di bawah program ‘Road to Paris’ itu akan digunakan dalam mengutip mata kelayakan olimpik buat sukan yang disasarkan memenangi pingat emas pertama Malaysia seperti badminton, terjun dan berbasikal.
"Amat penting kerana temasya sukan terbesar dunia yang diadakan empat tahun sekali itu kini hanya berbaki kurang dua tahun sahaja lagi," katanya.
Tambah Nazifuddin, selain olimpik, bajet tersebut juga akan digunakan bagi persiapan atlet menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja dan Sukan Asia 2022 Hangzhou di bawah kendalian Majlis Sukan Negara.
Pada Belanjawan 2022, industri sukan negara telah menerima peruntukkan RM244 juta.
Dana tersebut dilihat menurun RM50 juta berbanding sebelum pandemik COVID-19, dengan belanjawan 2020 memperuntukkan RM299 juta untuk sektor tersebut.