fb fb fb fb fb

Benzema terlepas penalti, Real diikat Osasuna 1-1

(FOTO AFP)

MADRID, 3 Oktober- Kegagalan menyempurnakan sepakan penalti menyaksikan Real Madrid diikat seri 1-1 oleh Osasuna dalam pertemuan awal pagi tadi.

Penyerang prolifik Real Madrid, Karim Benzema gagal memanfaatkan peluang terhidang itu selepas dia dikasari pemain David Garcia dalam kotak penalti.

Pasukan kendalian Carlo Ancelotti dilihat berpuas hati dengan keputusan pengadil melayangkan kad merah namun akur dengan sepakan penalti yang hanya singgah di palang gol.

Skuad La Casa Blanca membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap, Vinicius Jr dengan gol cantik dari sudut kiri padang.

8 minit kemudian, Osasuna menyamakan kedudukan dengan tandukan Kike Garcia untuk kembali mengawal permainan.

Pengurus Real, Carlo Ancelotti menyifatkan perlawanan tersebut adalah amat baik cuma nasib tidak menyebelahi pasukan untuk mencapai kemenangan.


(Pemain sayap Real Madrid, Vinicius Jr diasak dua pemain Osasuna/AFP)

“Apa yang kami hilang ialah menjaringkan penalti itu. Biasanya Karim menjaringkan gol.

"Dia tidak mempunyai masalah untuk bermain selama 90 minit. Sudah sebulan sejak dia bermain, dia perlu mengembalikan prestasi terbaiknya. Dia melakukan peranannya, dia mempunyai peluang daripada sepakan penalti. Ia kemalangan, kadang-kadang ia berlaku," kata jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti kepada DAZN.

Keputusan seri itu bermakna Barcelona mendahului Madrid dengan perbezaan gol selepas tujuh perlawanan dengan kedua-dua pasukan mengumpul 19 mata dan tidak tewas.

Ia adalah kali pertama pasukan Catalan mendahului liga pada penghujung pusingan perlawanan sejak Jun 2020.

Media Baharu