KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kehadiran tiga pasukan baharu termasuk kelab dari luar negara, DPMM FC dari Brunei, diyakini mampu memberi impak positif serta menyuntik nafas baharu kepada saingan Liga Malaysia musim ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd menyifatkan kemunculan Melaka FC, Imigresen FC dan DPMM FC bukan sahaja menambah warna saingan, malah turut memperluas capaian liga secara geografi.
“Dengan kehadiran DPMM FC, kini kita mempunyai tiga pasukan di Borneo iaitu Kuching FC, Sabah FC dan DPMM FC dari Brunei. Dari sudut operasi perlawanan dan kelancaran perjalanan liga, kita yakin kemunculan tiga kelab baharu ini mampu memberi impak baharu kepada bola sepak tempatan,” katanya.
Dalam pada itu juga beliau menyatakan dengan wajah baharu ini diharapkan dapat melihat satu impak positif dan peningkatan daya saing dalam bola sepak tempatan.
DPMM FC sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Singapura, manakala Melaka FC dan Imigresen FC pula bakal meriahkan saingan setelah melalui proses penstrukturan kelab masing-masing.