fb fb fb fb fb

64 pemain sertai Pertandingan Badminton Asia Pasifik Olimpik Khas 2025 di Malaysia

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Seramai 64 pemain badminton kurang upaya intelektual dan perkembangan (IDD) bakal berentap pada Pertandingan Badminton Asia Pasifik Olimpik Khas 2025 yang buat julung kali diadakan di Malaysia pada 17 hingga 20 September ini.

Menurut kenyataan Olimpik Khas Malaysia, kejohanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu turut disertai 17 rakan unified partners, iaitu pemain tanpa kelainan upaya, bagi memupuk semangat kesepaduan melalui sukan.

“Para peserta terdiri daripada atlet program Olimpik Khas dari 10 negara, iaitu Bangladesh, India, Indonesia, Maldives, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia.

“Mewakili tuan rumah ialah 12 atlet Malaysia dengan IDD dan empat rakan unified partners yang bersedia beraksi dengan sokongan padu penyokong tanah air,” menurut kenyataan itu.

Kejohanan mempertandingkan kategori umur 16 hingga 21 tahun dan 22 hingga 33 tahun, merangkumi acara perseorangan serta beregu lelaki dan wanita, termasuk beregu unified yang menyaksikan atlet dengan dan tanpa IDD berpasangan serta bersaing bersama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE