SHAH ALAM, 4 Ogos - Musim baharu Liga Malaysia (Liga M) menyaksikan pengadil memikul tanggungjawab lebih besar dalam memastikan tahap profesionalisme bola sepak tempatan terus meningkat.
Selepas mencatat ketepatan keputusan melebihi 98 peratus musim lalu, fokus kali ini bukan sekadar bebas daripada kontroversi, tetapi memperkukuh keyakinan terhadap mutu kepengadilan.
Pengadil berpengalaman, Nazmi Nasaruddin menyambut baik KPI tinggi ditetapkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram, yang mahu sifar isu pengadilan musim ini.
“Beliau menetapkan matlamat yang tinggi kepada semua pengadil. Ini bukan sekadar tekanan tetapi satu sasaran jelas yang perlu dicapai. Sebelum ini, kami telah diberikan kursus dengan tenaga pengajar dari FIFA, dan untuk musim ini, matlamatnya lebih tinggi,” katanya.
Nazmi turut memuji usaha FAM memperluaskan Akademi Pengadil Profesional tahun depan, yang akan menjadi platform melahirkan lebih ramai pengadil berkualiti untuk saingan domestik dan antarabangsa.
Saingan Liga A1 Semi Pro telah pun membuka tirai Sabtu lalu, manakala aksi tumpuan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor akan membuka kempen Liga Super musim ini pada Jumaat di Stadium Sultan Ibrahim.