fb fb fb fb fb

Hoki Piala Sultan Johor 2022: 30 pemain remaja dipanggil sertai kem latihan, pemilihan

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Seramai 30 pemain lelaki bawah 21 tahun telah menyertai kem pemilihan skuad projek khas negara bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) ke-10 dari 22 hingga 29 Oktober ini di Johor Bahru.

Ketua Jurulatihnya, Muhamad Amin Rahim berkata pemilihan bagi kejohanan antarabangsa itu turut menyenaraikan tiga pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia Remaja 2021.

Tiga pemain tersebut ialah Che Shahrul Azmi Che Saupi, Syarman Mat Tee dan Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul.

Menurut Muhd Amin, kehadiran tiga pemain ini diharap dapat membantu membimbing pemain-pemain lain yang tidak memiliki pengalaman di pentas antarabangsa.

Selain itu, pemilihan pemain baharu turut diadakan sebagai persiapan ke Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan.

Tambahnya, sesi pemilihan yang akan berlangsung selama dua minggu itu telah pun bermula semalam.

Dalam skuad projek khas lelaki ini, Muhd Amin akan dibantu I. Vikneswaran sebagai pengurus pasukan dan Megat Azrafiq Megat Termizi sebagai ketua penolong jurulatih.

Dua pemain senior kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Baljit Singh Charun Singh turut dipanggil sebagai penolong jurulatih, selain khidmat Roslan Jamaluddin ditagih bagi Ketua Jurulatih Penjaga Gol.


(FOTO FAIL/ MHC)

Media Baharu