fb fb fb fb fb

Verstappen muncul juara Grand Prix Las Vegas, kembali cabar kejuaraan

Pemandu Formula Satu (F1) Red Bull, Max Verstappen muncul juara Grand Prix Las Vegas/ REUTERS

LAS VEGAS, 23 November – Pemandu Formula Satu (F1) Red Bull, Max Verstappen muncul juara Grand Prix Las Vegas pada Sabtu, sekali gus kembali mencabar kejuaraan dunia selepas kejutan pembatalan penyertaan dua pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri.

Norris, yang bermula di petak utama dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua, serta Piastri yang berada di tempat keempat, dibatalkan keputusan mereka beberapa jam selepas tamat perlumbaan.

Kedua-duanya didapati melanggar peraturan teknikal berkaitan 'skid plank' di bahagian bawah jentera.

Pembatalan tersebut menyaksikan kedudukan kejuaraan berubah dengan drastik.

Norris kini hanya 24 mata mendahului Verstappen dan Piastri, yang kini terikat mata dengan dua baki perlumbaan di Qatar dan Abu Dhabi serta 58 mata masih dipertaruhkan.

Dengan keputusan terbaharu itu, George Russell dari Mercedes naik ke tempat kedua manakala rakan sepasukannya, Kimi Antonelli melengkapkan podium di tempat ketiga.

Antonelli, yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat, sebelumnya diturunkan satu kedudukan selepas dikenakan penalti lima saat kerana memulakan perlumbaan lebih awal.

Verstappen kini kembali berada dalam kedudukan untuk memburu kejuaraan kelima berturut-turut.

Sementara itu, McLaren telah pun memastikan kejuaraan kategori pengeluar untuk tahun kedua berturut-turut.

Kemenangan itu merupakan kemenangan ke-69 dalam karier Verstappen dan yang keenam musim ini, selain podium ke-125 serta podium kelapan berturut-turut dalam perlumbaan ke-150 kerjasama Red Bull–Honda.

Dalam perlumbaan, Norris kehilangan kedudukan pendahulu di selekoh pertama selepas dipintas Verstappen dan Russell, sebelum merampas semula tempat kedua pada pusingan ke-34 namun terpaksa menguruskan penggunaan bahan api hingga ke garisan penamat. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN