SHAH ALAM, 23 November – Kelantan The Real Warriors (TRW) sedang mengintai pemain import baharu untuk memperkuatkan barisan serangan mereka menjelang jendela perpindahan Januari 2026.
Penolong pengurus, Zahar Ab Kadir berkata langkah ini penting bagi memastikan TRW terus kompetitif menghadapi saingan baki perlawanan pada separuh musim kedua nanti.
"Dari segi rombakan atau pemain disingkirkan, tiada maklumat yang saya dapat, cuma kita ingin membawa masuk pemain import baharu untuk mempertajamkan bahagian serangan kita,"
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Ramah Mesra Pasukan The Real Warriors bersama NGO dan Kelab-Kelab Penyokong Kelantan di ibu pejabat Kumpulan Karangkraf, di sini hari ini.
Zahar turut menepis sebarang spekulasi mengenai gaji tertunggak sambil menegaskan semua pemain menerima pembayaran mengikut jadual seperti biasa.
"Setakat ini Alhamdulilah gaji pemain-pemain masuk seperti kerajaan ada 'dateline' cuma apa yang berlaku itu adalah saki baki tunggakan tahun lepas, pihak pengurusan tak akan lepas tangan akan cuba selesaikan secepat mungkin," jelas beliau.
Dalam pada itu, Zahar juga menjelaskan ketiadaan pemain import, Ifedayo Olusegun bukan melibatkan isu perpindahan, sebaliknya pemain itu sedang bercuti dan masih kekal bersama Kelantan TRW.
"Dia (Ifedayo) mohon bercuti sekarang, dia tidak kembali ke Kelantan sebab ada masalah visa nak bawa keluarga dia untuk datang, dia masih lagi pemain kita," tegas Zahar.
Mengulas mengenai jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan, status beliau masih direhatkan sementara waktu dan keputusan seterusnya menunggu pengumuman rasmi pihak pengurusan.
Sementara itu, pasukan kini dikendalikan penolong jurulatih, Akmal Rizal Rakhli.