KUALA LUMPUR, 23 November - Juara minggu kedua perseorangan lelaki M15 Kuala Lumpur ITF World Tennis Tour 2025, Karol Filar dari Poland meluahkan rasa gembira dan lega selepas menamatkan perlawanan final sengit menentang pemain Jepun, Yuta Kawahashi.
Mengulas kemenangan hari ini, Filar berkata persiapan yang dilakukannya sebelum memasuki kejohanan banyak membantunya dari segi fizikal dan mental, selain mengakui kekuatan pihak lawan yang berada pada prestasi terbaik.
“Ini minggu kedua, jadi pada minggu pertama saya lebih banyak membuat persediaan fizikal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Dari segi mental pula, saya cuba kekal fokus pada setiap mata dan tidak memikirkan apa yang akan berlaku, hanya fokus pada mata seterusnya.
“Pihak lawan bermain dengan sangat baik. Beliau menang kejohanan minggu pertama dan mara ke final pada minggu kedua, jadi dia memang berada dalam keadaan terbaik. Memang sukar untuk bermain menentangnya, dia pemain yang hebat. Tapi saya gembira kerana saya menang,” katanya selepas ditemui pemberita selepas Kejohanan Akhir Perseorangan Lelaki M15 Kuala Lumpur ITF World Tennis Tour 2025, di sini hari ini.
Permainan bermula lewat akibat hujan, namun Filar kekal tenang untuk memenangi set pertama 6-3, sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 7-6 pada set kedua, termasuk menguasai tie-break 7-3.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (TennisMalaysia), Datuk Seri Farid Ridzuan berkata kejohanan M15 ini bukan sahaja berjaya dianjurkan walaupun cuaca mencabar, malah menjadi platform penting untuk pemain Malaysia menimba pengalaman dan mengumpul mata ranking ATP serta ITF.
“Walaupun cuaca agak mencabar sepanjang minggu ini, bukan sahaja di sini, malah di seluruh rantau ini dan kurang sesuai untuk mengadakan tenis outdoor. Tapi Alhamdulillah, kita dapat mengadakan perlawanan akhir hari ini.
“M15 ini kita buat secara berterusan dari minggu lepas dan dihadiri oleh pemain-pemain dari tidak kurang 30 negara. Ini memang sesuatu yang positif kerana sejak kami menganjurkan Davis Cup dan juga Billie Jean King Cup 2025, ITF telah memberi kepercayaan kepada LTAM untuk menganjurkan beberapa pertandingan antarabangsa seperti M15.
"Insya-Allah pada masa depan, kita juga telah mendapat indikasi bahawa mereka akan berikan lagi pertandingan antarabangsa sekurang-kurangnya M15, W15, kejohanan ITF Junior dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Akhir Perseorangan Lelaki M15 Kuala Lumpur ITF World Tennis Tour 2025.
Kejohanan yang berlangsung sejak 8 November lalu menjadi sebahagian usaha ITF dan TennisMalaysia memperkukuh pembangunan bakat tenis profesional, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain muda mengumpul mata ranking.