SHAH ALAM, 23 November - Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Dodgeball Asia 2025 apabila berjaya meraih tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa, di Kompleks Belia dan Sukan Selangor (KOMBES), di sini hari ini.
Malaysia memenangi tiga pingat emas menerusi dua kategori campuran dan satu kategori wanita.
Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V. Radhakrishnan berkata pasukan Malaysia menunjukkan prestasi membanggakan ketika beraksi menentang 12 negara lain.
"Prestasi pasukan Malaysia pada hari ini sangat baik dan membanggakan. Kita berjaya memperoleh tiga emas, dua perak dan satu gangsa pada kejohanan ini. Setiap kategori kita dapat pingat jadi ia sangat baik. Seramai 850 orang peserta dari 13 negara menyertai kejohanan kali ini.
"Walaupun Malaysia antara pasukan terbaik dodgeball tetapi kita tidak boleh terus selesa kerana setiap negara seperti Hong Kong dan Arab Saudi sudah menambah baik kemahiran mereka," kata beliau.
Mengulas lanjut, Radhakrishnan berkata Malaysia perlu lebih bekerja keras mulai sekarang memandangkan bakal menyertai kejohanan dunia tahun depan.