IPOH, 23 November - Aksi sulung skuad Malaysia di Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-31 berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 menentang New Zealand di Stadium Azlan Shah, Ipoh, hari ini.
Malaysia terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-10 menerusi Shello Silverius yang menyempurnakan hantaran Faizal Saari.
‘Speedy Tigers’ kemudian menambah jaringan pada minit ke-22 hasil pukulan sudut penalti Syed Syafiq.
Berselang empat minit kemudian, New Zealand merapatkan jurang jaringan menerusi gol kapten pasukan, Sam Lane hasil pukulan penalti menewaskan Hafizuddin Othman di gawang gol Malaysia.
Hasrat skuad negara mengutip tiga mata tidak kesampaian apabila Dylan Thomas menjaringkan gol penyamaan buat ‘Black Sticks’ dua minit sebelum tamat permainan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh tetap memuji aksi ditampilkan barisan pemainnya meskipun berdepan kesukaran beraksi di atas padang basah.
“Kedua-dua pasukan bermain dengan baik. Kami mengambil peluang lebih awal, tetapi kami masih berdepan masalah sama — dibolosi pada minit-minit terakhir. Itu perlu kami teliti. Selain itu, saya fikir para pemain beraksi dengan baik di atas padang yang berat kerana bukan mudah untuk bermain dalam keadaan begitu,” katanya.
Malaysia dan New Zealand masing-masing membawa pulang satu mata.