fb fb fb fb fb

Verstappen menang GP Qatar

Foto AFP

DOHA, 1 Disember -Max Verstappen muncul juara Grand Prix Qatar pada Ahad, sekali gus membuka laluan kepada penentuan gelaran dunia yang dramatik menentang dua pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri pada perlumbaan terakhir musim ini.

Pemandu Red Bull itu mengekalkan harapannya untuk meraih gelaran dunia kelima berturut-turut selepas Piastri yang bermula di petak utama menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala pendahulu kejuaraan, Norris, sekadar berada di tempat keempat.

Kebangkitan luar biasa Verstappen pada penghujung musim telah mengangkatnya melepasi Piastri untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan.

Pemandu Belanda itu kini hanya 12 mata di belakang Norris menjelang perlumbaan penutup musim minggu hadapan, dengan Piastri pula 16 mata di belakang rakan sepasukannya.

Verstappen turut mengimbas kenangan manis ketika perebutan gelaran 2021, apabila beliau menewaskan Lewis Hamilton pada pusingan terakhir perlumbaan akhir di Abu Dhabi.

Perlumbaan di Qatar itu sepatutnya memihak kepada McLaren dengan Piastri dan Norris menguasai petak hadapan, namun kedua-duanya dipintas Verstappen sejurus perlumbaan bermula.

Red Bull kemudian memanggil Verstappen masuk ke pit ketika kereta keselamatan dikerahkan, sementara McLaren memilih untuk mengekalkan kedua-dua pemandunya di trek — keputusan yang akhirnya merugikan mereka.

“Kami jelas tidak membuat keputusan tepat malam ini,” akui Piastri.

“Saya memandu sepantas mungkin, tetapi bukan rezeki kami. Jika dilihat kembali, mungkin jelas apa yang sepatutnya dilakukan. Kami akan bincangkannya sebagai satu pasukan. Ia memang pahit untuk diterima,” kata pemandu Australia itu.

Verstappen pula berkata: “Perlumbaan yang luar biasa untuk kami. Kami membuat keputusan tepat untuk masuk pit ketika kereta keselamatan keluar. Satu perlumbaan yang kuat walaupun hujung minggu ini agak sukar.”

Carlos Sainz daripada pasukan Williams melengkapkan podium bawah limpahan cahaya lampu Litar Antarabangsa Lusail di gurun Doha. - AFP

TETITIA YUSOFF