fb fb fb fb fb

Venus Williams tiada hasrat untuk berhenti

Foto AFP

NEW YORK, 3 September - Venus Williams menyatakan hasrat untuk terus beraksi dalam sukan tenis meski tersingkir dari saingan beregu wanita pada aksi Terbuka Amerika Syarikat, bersama rakan sepasukan Leylah Fernandez .

Williams, 45, yang baru sahaja kembali ke gelanggang Julai lalu selepas berehat selama 16 bulan, berpuas hati dengan persembahannya sepanjang kejohanan itu berlangsung.

"Saya berbangga dengan diri sendiri kerana bukan mudah untuk kembali selepas berehat lama. Ini adalah tempoh paling lama saya berehat, dan ia adalah cabaran yang saya sendiri tidak jangkakan," katanya.

Tambah beliau, kecintaannya terhadap sukan tenis tidak pernah luntur kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.

Terdahulu pasangan Venus - Leylah mengakhiri kempen Terbuka Amerika Syarikat selepas tewas kepada pasangan pilihan utama Taylor Townsend dan Katerina Siniakova dengan keputusan 6-1, 6-2 dalam aksi suku akhir beregu wanita semalam.

Townsend dan Siniakova yang juga juara Terbuka Australia, hanya memerlukan 22 minit untuk menamatkan set pertama dengan mudah, sebelum mengukuhkan penguasaan mereka dalam set kedua dengan satu lagi 'break' selepas game servis panjang oleh Williams dan Fernandez.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN