fb fb fb fb fb

Gundogan sertai Galatasaray

Foto AFP

LONDON, 3 September - Pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan, sah meninggalkan Manchester City bagi menyertai juara Liga Turki, Galatasaray. Ia dimaklumkan menerusi kenyataan oleh kedua-dua kelab semalam.

Menurut pemain berusia 34 tahun itu, penglibatannya bersama The Citizens akan sentiasa menjadi kenangan terindah sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak professional.

"Manchester City sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Kejayaan menjulang trofi Liga Perdana dan Piala FA amat bermakna, tetapi dapat mengangkat trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab, apatah lagi di Istanbul, akan kekal menjadi kenangan seumur hidup," katanya.

Galatasaray mengumumkan bahawa mereka bersetuju mendapatkan Gundogan secara perpindahan percuma sehingga penghujung musim 2026/27 dengan gaji bersih sebanyak €4.5 juta untuk setiap musim pada 2025/26 dan 2026/27.

Gundogan, meninggalkan legasi besar di City selepas membuat 358 penampilan dalam dua tempoh bersama kelab itu, menjaringkan 65 gol serta membantu merangkul 14 trofi.

Antara pencapaian terbesar beliau ialah memimpin pasukan sebagai ketua pasukan ketika menjuarai gelaran treble ; Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada musim 2022/23.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN