TASHKENT, 7 Oktober- Bekas kapten Itali dan pemenang Piala Dunia 2006, Fabio Cannavaro, dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Uzbekistan, menjelang penampilan pertama negara Asia Tengah itu di Piala Dunia tahun depan.
Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Uzbekistan pada Isnin, dengan menyatakan bahawa pelantikan Cannavaro bertujuan memperkuatkan persediaan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan berprestij itu.
Cannavaro, 52 tahun, sebelum ini mempunyai pengalaman melatih beberapa kelab di China, Arab Saudi dan Itali, selain pernah memegang peranan sebagai pengurus sementara pasukan kebangsaan China pada 2019.
Tugas terakhirnya ialah bersama Dinamo Zagreb di Croatia, namun tempoh perkhidmatannya hanya bertahan kurang empat bulan sebelum tamat pada April lalu.
Walaupun memiliki reputasi cemerlang sebagai pemain, mengetuai Itali menjulang trofi Piala Dunia 2006 di Jerman, rekod Cannavaro sebagai jurulatih dianggap bercampur-campur dengan beberapa tempoh singkat di kelab luar negara.
Beliau akan menggantikan Timur Kapadze, yang mengetuai Uzbekistan layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu pada Jun lalu. -REUTERS