fb fb fb fb fb

Ketandusan jaringan: Prestasi Salah dikritik

Pamer aksi longlai, komitmen Salah dikritik/Foto AFP

LONDON, 6 Oktober – Bintang Liverpool, Mohamed Salah, berdepan tekanan selepas menunjukkan prestasi yang merosot, sekali gus mencetuskan kritikan terhadap komitmen dan etika kerjanya di atas padang.

Dalam kekalahan 1-2 Liverpool kepada Chelsea di Stamford Bridge, Sabtu lalu, penyerang berusia 33 tahun itu gagal menyempurnakan beberapa peluang dan kurang membantu barisan pertahanan ketika pasukannya diasak.

Salah kini gagal menjaringkan gol dalam lima daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Juara bertahan itu mengalami tiga kekalahan dalam tempoh lapan hari dan tergelincir ke belakang Arsenal di tangga liga.

Lebih membimbangkan, kelemahan Salah dalam membantu pertahanan menyebabkan ruang di bahagian kanan Liverpool mudah dieksploitasi.

Ini termasuk ketika gol kemenangan lewat oleh pemain Chelsea, Estevao Willian, yang berpunca dari kawasan kawalan Salah.

Pertahanan Chelsea, Marc Cucurella, mendedahkan pasukannya telah diarahkan untuk memanfaatkan ruang yang ditinggalkan Salah.

“Kami tahu Salah sentiasa bersedia untuk serangan balas, jadi jurulatih kami arahkan supaya kami manfaatkan ruang itu,” katanya.

Salah hanya menjaringkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam sembilan penampilan musim ini – angka yang jauh daripada standard biasa beliau.

Bekas bintang Manchester United, Wayne Rooney, mengkritik sikap pemain Mesir itu yang dikatakan tidak membantu pasukan.

“Apabila dia tidak menjaringkan gol, sikapnya di padang mula dipersoalkan. Pemimpin dalam bilik persalinan sepatutnya menegurnya,” tegas Rooney.

Bekas pemain Liverpool, Danny Murphy, turut sependapat bahawa kelemahan Salah dalam aspek bertahan kini menjadi masalah taktikal utama pasukan.

Jurulatih Arne Slot mengakui pemain itu sedang melalui fasa sukar, namun menegaskan Salah masih manusia biasa dan memerlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaiknya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN