PARIS, 7 Oktober- Juara dunia baharu, Marc Marquez disahkan tidak akan beraksi dalam dua perlumbaan seterusnya selepas mengalami kecederaan ketika perlumbaan MotoGP Indonesia pada Ahad.
Pelumba Sepanyol itu terbabas pada pusingan pertama di Litar Mandalika, Lombok, selepas dilanggar oleh pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, yang cuba memintas selepas kehilangan kedudukan di awal perlumbaan.
Insiden itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke kawasan gravel, sementara pelumba muda Fermin Aldeguer muncul juara dalam perlumbaan itu.
Pasukan Ducati dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Marquez mengalami patah tulang bahu kanan serta kecederaan ligamen, namun menolak sebarang kaitan dengan kecederaan lamanya.
Menurut pasukan perubatannya di Madrid, Marquez akan menjalani rawatan konservatif melibatkan rehat dan imobilisasi bahagian bahu sehingga pulih sepenuhnya.
Kecederaan itu menyebabkan juara dunia tujuh kali berusia 32 tahun itu terpaksa menarik diri daripada Grand Prix Australia (17-19 Oktober) dan Grand Prix Malaysia (24-26 Oktober).
Beliau dijangka kembali untuk dua baki perlumbaan di Portugal (7-9 November) dan Valencia (14-16 November).
“Nasib baik kecederaan ini tidak serius, tetapi penting untuk saya mematuhi tempoh pemulihan. Matlamat saya ialah kembali sebelum musim tamat, tetapi tanpa tergesa-gesa melebihi saranan doktor,” kata Marquez, yang menjuarai gelaran dunia ketujuhnya di Jepun minggu lalu.
Marquez, yang mempunyai sejarah panjang kecederaan termasuk patah lengan kanan pada 2020, akan menjalani pemeriksaan perubatan mingguan bagi menentukan perkembangan pemulihannya sebelum dibenarkan kembali ke litar. -AFP