KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan dan menegaskan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan telah lengkap dan sedia untuk diserahkan kepada FIFA.
FAM turut memandang serius dakwaan kononnya para pemain “memperoleh dokumen yang dipalsukan” atau berusaha mengelak peraturan kelayakan, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang bukti dikemukakan oleh FIFA bagi menyokong tuduhan tersebut.
“Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.
Para pemain pula bertindak dengan niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan rasmi oleh FAM,” menurut kenyataan itu.
FAM menegaskan komitmennya untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara serta melindungi hak pemain, di samping memastikan proses rayuan berjalan dengan telus dan mengikut undang-undang.
Dalam masa sama, FAM menjelaskan bahawa kes tersebut turut melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport.
"Sehubungan itu, FAM terikat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, yang melarang sebarang pendedahan tanpa kebenaran dan akan berkongsi maklumat tersebut hanya dengan pihak FIFA bagi tujuan kes berkenaan," tambah kenyataan itu.