fb fb fb fb fb

UCI lulus penganjuran LTdL hingga 2028

UCI meluluskan status penganjuran Pro Series Le Tour de Langkawi (LTdL) hingga 2028/Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) meluluskan status penganjuran Pro Series Le Tour de Langkawi (LTdL) untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 2026 hingga 2028.

Berita baik itu diumumkan Naib Presiden UCI Datuk Amarjit Singh Gill yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu kejayaan besar buat Malaysia apabila terus diiktiraf sebagai antara penganjur terbaik dalam kalendar lumba basikal dunia.

“Ini satu kejayaan besar untuk Malaysia. Ia bukti nyata bahawa UCI mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan negara kita dalam menganjurkan Le Tour de Langkawi secara cekap, profesional dan tanpa sebarang isu,” ujarnya dalam kenyataan.

Datuk Amarjit berkata perbincangan secara langsung dengan Presiden UCI, David Lappartient, mengenai kepentingan Le Tour de Langkawi telah dilakukan.

“Saya tekankan kepada Presiden UCI bahawa LTdL bukan sekadar perlumbaan biasa, ia adalah simbol pembangunan dan kemajuan sukan berbasikal di Asia.

"Saya gembira kerana beliau bersetuju sepenuhnya dan memberi sokongan padu agar perlumbaan ini terus dimasukkan dalam kalendar Pro Series UCI untuk tiga tahun akan datang,” jelas Datuk Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia.

Kelulusan UCI tersebut sekali gus memberi perkhabaran gembira kepada semua pihak di negara ini, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan PKBM.

LTdL 2025 yang berakhir pada 5 Oktober lalu dianggap antara perlumbaan berbasikal lebuh raya terbaik yang pernah dianjurkan Malaysia.

Ini berikutan keseluruhan aspek teknikal dan perlumbaan mendapat penilaian cemerlang dengan penarafan 'All Green' oleh presiden dan barisan komisar serta pengarah perlumbaan.

Perkembangan berkenaan membuktikan tiada kelemahan ketara dikesan sepanjang kejohanan berlangsung dan LTdL kekal sebagai perlumbaan yang berprestij di peringkat antarabangsa.

JALALUDDIN BIN BAHARIN