KUALA TERENGGANU, 17 April- Usia bukan penghalang buat bekas pelumba basikal lasak (MTB) negara, Azizulazli Shaari yang kini berusia 46 tahun untuk kekal kompetitif dalam perlumbaan di dalam negara mahupun di luar negara sebagai pelumba profesional.
Terkini, anak jati Kuala Terengganu yang lebih dikenali sebagai Bujoe dalam arena berbasikal itu mengesahkan penyertaan untuk berentap dalam perlumbaan Kejuaraan Berbasikal Lasak (XCO) Kebangsaan 2024 di Bukit Chatak, Dungun, Terengganu pada hujung minggu ini.
Beraksi di litar perlumbaan berstatus 'Class Two Cross Country Olympic', yang mendapat pengiktirafan oleh badan induk dunia (UCI) nanti, Azizulazli Shaari tidak menolak bakal menerima cabaran sengit daripada pelumba-pelumba muda kebangsaan dan pelumba profesional luar negara yang turut berentap bersama nanti.
Setelah beraksi cemerlang di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) mewakili Terengganu pada tahun 1996 dan 1998, beliau diserap ke dalam kem berbasikal lasak kebangsaan bagi persediaan selama empat tahun untuk beraksi di temasya Sukan SEA 2003 di mana Malaysia menjadi tuan rumah ketika itu.
Kali terakhir Azizulazli Shaari menyarung jersi kebangsaan adalah sewaktu beraksi di pentas Kejuaraan Berbasikal Konfederasi Asia(ACC) pada tahun 2002 di Thailand sebelum memilih haluan untuk menjadi pelumba profesional persendirian sepenuh masa sehingga kini.
"Faktor usia bukan penghalang sebenarnya. Cuma ia berbeza dari segi kemampuan zon prestasi jantung sebagai pelumba di mana kita berlumba mengikut kemampuan masing-masing dengan data-data yang telah dicatat sepanjang menjalankan latihan.
"Namun saya sedar usia yang semakin meningkat, sudah tentu saya tidak boleh memaksa kudrat saya atau degupan jantung saya lebih laju seperti mana sewaktu usia muda dahulu. Berlumba dalam usia saya sebegini, selain mengekalkan kecergasan sudah tentu pengalaman dan disiplin latihan menjadi taruhan saya dalam setiap perlumbaan.
"Sehingga kini saya masih dalam prestasi terbaik sebagai pelumba untuk bersaing secara kompetitif di mana saya baru pulang dari menyertai perlumbaan di Thailand," ujar Azizulazli Shaari yang kini telah berkeluarga dan mempunyai dua cahaya mata.
Kejuaraan Berbasikal Lasak (XCO) Kebangsaan 2024 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari di Dungun pada Jumaat dan Sabtu ini mempertaruhkan 11 kategori yang dipertandingkan meliputi tujuh kategori bagi lelaki dan empat kategori wanita.
Perlumbaan turut menawarkan kutipan mata bagi pelumba untuk meraih ranking dunia UCI.