fb fb fb fb fb

Liga Juara: Mbappe musnahkan impian Barcelona ke separuh akhir

Bintang PSG, Kaylian Mbappe meraikan gol jaringannya ketika menentang Barcelona pada suku akhir Liga Juara pada Selasa/Foto Reuters

BARCELONA, 17 April -Dua jaringan Kaylian Mbappe membolehkan Paris Saint Germain bangkit daripada ketinggalan bagi mencatatkan kemenangan 4-1 terhadap Barcelona sekali gus membawa gergasi Perancis itu ke separuh akhir dengan kemenangan 6-4 secara agregat pada Selasa.

PSG yang bermain sebagai pasukan pelawat bagaimanapun ketinggalan 1-0 apabila Barcelona berjaya menjaringkan pendahuluan pada minit ke-12 melalui Raphinha.

Ketika segala-galanya nampak sempurna, Barcelona ditimpa malang apabila pemain pertahanan tengahnya, Ronald Araujo dilayangkan kad merah pada minit ke-29 menyebabkan tempo permainan berubah.

PSG mengambil kesempatan di atas kekurangan pemain yang dihadapi Barcelona dengan melancarkan gerakan berbahaya ke pintu gol tuan rumah.

Hasilnya, penyerang PSG,Ousmane Dembele berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-40. Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, PSG semakin mendominasi perlawanan dengan percubaan berbahaya.

Pemain tengah PSG, Vitinha berjaya menggandakan jaringan melalui gol kedua pada minit ke-54.

Impian mara ke separuh Liga Juara buat Barcelona tertutup rapat apabila penyerang sensasi Kaylian Mbappe menambah jaringan ketiga dan keempat pada minit 61 dan 89.

Kali terakhir PSG layak ke separuh akhir Liga Juara musim 2020, sebelum tumpas di tangan Bayern Munich 1-0 pada final yang diadakan di Portugal.- REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD