TOKYO, 11 September- Legenda pecut dunia, Usain Bolt memberi peringatan kepada bintang remaja Australia, Gout Gout bahawa menggarap bakat remaja kepada kejuaraan dunia dan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah.
Gout, 17 tahun, kini menjadi tumpuan selepas deretan catatan masa pantas sepanjang tahun lalu, malah ada yang sudah meletakkannya sebagai pilihan utama untuk meraih emas di Sukan Olimpik Brisbane 2032.
Namun, Bolt menegaskan bakat semata-mata tidak mencukupi.
“Kalau dia kekal dengan landasan ini memang bagus, tapi semuanya bergantung kepada sama ada dia dapat atur perkara dengan betul. Ia tidak pernah mudah. Lebih senang ketika masih muda kerana saya sendiri pernah melalui fasa itu. Tapi peralihan daripada peringkat junior ke senior adalah jauh lebih sukar.
Faktor seperti jurulatih yang tepat, sokongan sekeliling, fokus dan disiplin akan menentukan sama ada dia boleh menjadi hebat serta konsisten hingga ke kejohanan dunia atau Olimpik,” katanya ketika ditemui pada satu acara Puma di Tokyo.
Walaupun turut mencipta rekod usia muda, Bolt hanya benar-benar mencipta impak global pada usia 22 tahun apabila memecahkan rekod dunia 100 meter dua kali serta memenangi acara pecut berganda di Olimpik Beijing 2008.
Bintang Jamaica itu bersara pada 2017 dengan lapan pingat emas Olimpik dan 11 gelaran dunia, menjadikannya ikon dalam sejarah olahraga.
“Dia memang berbakat dengan catatan masanya sekarang. Itu sesuatu yang kita suka lihat kerana lebih ramai atlet berjaya, lebih besar sukan ini berkembang. Saya sentiasa menyokong agar olahraga terus jadi lebih besar,” tambah Bolt.
Dalam acara sama, Puma turut berkongsi hasil kajian bahawa Bolt berpotensi mencatat masa sensasi 9.42 saat dalam acara 100 meter sekiranya menggunakan kasut pecut generasi terbaru, 0.16 saat lebih pantas daripada rekod dunianya yang dibuat 16 tahun lalu di Berlin.
Bagaimanapun, Bolt berkata beliau tidak bimbang rekod itu dipecahkan dan yakin dua pelari Jamaica, Kishane Thompson dan Oblique Seville, mampu menguasai acara 100 meter dengan kemenangan 1-2. -REUTERS