SEPANG, 11 September- Pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain optimis anak buahnya mampu tampil lebih meyakinkan pada Sukan SEA di Bangkok, Thailand hujung tahun ini.
Beliau berkata kegagalan di Piala AFF B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dijadikan pengajaran berharga untuk memperbaiki prestasi pasukan.
“Jika kita ada perancangan yang baik dan pemain dapat membuktikan kemampuan, tidak mustahil kita mampu membawa pulang pingat. Jurang dengan pasukan seperti Thailand dan Indonesia juga tidak besar, malah ada aspek permainan kita yang lebih baik,” kata Nafuzi ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Mengulas lanjut, Nafuzi menegaskan aspek ketangkasan pemain akan diberi perhatian bagi memperkemaskan persembahan pasukan.
“Jurang permainan tidak besar, malah ada aspek permainan kita yang lebih baik. Bezanya hanya pada kualiti individu dan ketenangan ketika menyudahkan peluang, dan itu yang perlu kita perkemaskan," tambahnya.
Kali terakhir skuad bola sepak lelaki negara meraih pingat adalah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan pingat perak.
Namun, Malaysia gagal meraih sebarang pingat pada edisi 2019 di Filipina, 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja manakala kali terakhir Malaysia menggenggam pingat emas adalah pada 2011 di Indonesia.