SUBANG, 11 September- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap agar jurulatih badminton veteran negara, Wong Tat Meng diberikan kesembuhan segera, susulan terlibat dalam kemalangan motosikal di Sydney, Australia, Ahad lalu.
Menurut Hannah, beliau belum menerima maklumat terperinci mengenai tahap kecederaan yang dialami Tat Meng.
Namun, difahamkan bekas jurulatih perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia itu mengalami kecederaan serius berdasarkan laporan media tempatan.
"Pihak Malaysia, khususnya warga sukan, mendoakan keselamatan jurulatih Tat Meng dan semoga beliau segera sembuh. Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat baharu, tetapi difahamkan kemalangan tersebut agak serius.
Saya juga dimaklumkan bahawa beliau telah berhenti menjadi jurulatih untuk memberi tumpuan kepada minatnya, iaitu menunggang motosikal. Kita semua sedih mendengar berita ini, dan sama-sama mendoakan yang terbaik untuk beliau. Semoga beliau kembali pulih seperti biasa," kata Hannah selepas menghadiri Program Rakan Muda Turun Kampus di sini, hari ini.
Terdahulu, satu kemalangan motosikal dilaporkan berlaku di kawasan Lembah Garland, di mana seorang penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 58 tahun iaitu Tat Meng, kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).