fb fb fb fb fb

Liga Super: JDT pesta gol, benam Penang FC 6-0

Pemain JDT, Joao Vitro Brandao Figueiredo (dua, kiri) melakukan percubaan ketika menentang pasukan Penang FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 25/26, di Stadium Sultan Ibrahim/ BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 11 September - Johor Darul Takzim (JDT) berpesta gol di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri selepas membenam Penang FC, 6-0 seterusnya kekal selaku pendahulu Liga Super.

Pemain paling bernilai musim lalu, Arif Aiman turut menyumbang dua gol dalam aksi malam tadi.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk di depan menerusi tandukan Jairo Da Silva pada minit ke-9.

Gol kedua muncul 9 minit kemudian melalui rembatan luar kotak penalti Kapten JDT, Arif Aiman.

Arif mencetak gol kedua peribadi pada minit 31 selepas mudah menewaskan penjaga gol Khairulazhan Khalid, untuk gol ketiga JDT. Berselang dua minit, giliran Joao Figueiredo meledak gol keempat hasil kesilapan Khairulazhan.

Sebelum tamat separuh masa, pemain pertahanan Jon Irazabal berjaya menghasilkan gol kelima tuan rumah. Gol keenam Harimau Selatan muncul pada minit 52, melalui Antonio Glauder.

Keputusan penuh di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan JDT-6, Penang FC-0.

Selepas lima perlawanan, skuad kendalian Xisco Munoz terus di puncak liga dengan 15 mata, manakala Penang FC, terpelosok ke dasar liga dengan hanya satu mata.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz gembira dengan persembahan pemain termasuk aksi pemain baru, Ager Aketxe dan Raul Parra terutama pada separuh masa pertama.

“Tahap permainan pasukan pada separuh masa pertama berada di tahap tertinggi. Apabila anda masuk dan tahu bagaimana mengawal situasi yang mencabar, ia merupakan satu persembahan yang baik.

“Saya sangat gembira dan yakin pasukan ini akan bertambah baik setiap hari. Ada beberapa pemain yang bermain bersama buat kali pertama hari ini, jadi mereka masih perlu memahami taktik dalam permainan", katanya kepada media.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail pula sedikit kecewa apabila pemain leka pada babak pertama sehingga bolos lima kali.

"Sindrom lambat panas atau lambat ‘settle down’ dalam perlawanan, dan bila dengan JDT .... kita akan dihukum. Separuh masa kedua, bila kita dah betulkan perkara itu, awal-awal lagi pemain mula steady, dapat kawal keadaan dan mula cipta gerakan menyerang. Di bahagian pertahanan pun agak stabil.

"Mungkin ada pemain yang rasa tertekan sebab berdepan dengan JDT, tapi dalam bola sepak, kita perlu lawan dengan sepenuh tenaga. Seperti separuh masa kedua tadi, saya gembira dengan prestasi pemain saya", katanya.

ROSLINA BINTI DIN